Syarikat itu yang diwakili Pengurus Syarikat, Wan Adnan Wan Ab Rahim didenda RM80,000 hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Syarikat itu yang diwakili Pengurus Syarikat, Wan Adnan Wan Ab Rahim didenda RM80,000 hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini


TINDAKAN sebuah syarikat kitar semula pepejal yang mencemarkan udara di sekitar Kampung Sungai Kandis, Shah Alam mengundang padah apabila didenda RM80,000 atas tiga pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas Syarikat Hijau Kitar Semula Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili Pengurusnya, Wan Adnan Wan Ab Rahim mengaku salah atas semua pertuduhan berkenaan.

Mengikut ringkasan penghakimannya, Rofiah berkata, siasatan yang dilakukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor adalah hasil aduan orang awam.

Menurutnya, pelbagai aspek perlu diambil kira mengenai pengoperasian sesebuah kilang, bukannya sekadar mencari rezeki serta keuntungan saja.

“Persekitaran alam sekitar dan kesihatan orang awam perlu dititikberatkan.

“Kawasan di sekitar itu mungkin terdiri daripada pelbagai kategori termasuk bayi, kanak-kanak dan orang tua dengan asap (hasil operasi kilang) amat sensitif,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Pengarah Syarikat Hijau Kitar Semula Sdn Bhd didapati menjalankan kitar semula sisa pepejal iaitu pembinaan loji pulih guna rawatan terma relau tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Justeru, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(38) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

Pengarah syarikat itu juga didakwa atas dua pertuduhan lain iaitu menjalankan aktiviti yang mewujudkan punca pencemaran udara iaitu pembakaran sisa pepejal di dalam relau dan gagal melengkapkan premis dengan sistem kawalan pencemaran udara.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen Peraturan 5(1) (b) dan Peraturan 7(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 29, peraturan dan akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya.

Semua perbuatan itu dilakukan di Jalan Siswi Kanan, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam 11.15 pagi 8 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya JAS Selangor Zulaikha Mokhtar mencadangkan satu hukuman setimpal berikutan ia membabitkan kepentingan awam.

“Berdasarkan siasatan aduan orang awam berasas dengan kilang itu didapati tanpa dilengkapi sistem pencemaran udara pembakaran sisa pepejal tanpa kelulusan JAS.

“Aktiviti dijalankan sangat berpotensi mencemarkan alam sekitar dan memberikan impak kepada kesihatan awam,” katanya.

Bagaimanapun Peguam J Darshne mewakili OKS memohon hukuman diringankan susulan itu kesalahan pertama syarikat berkenaan.

“OKS menjalankan operasi mereka pada 11 Januari 2018 dengan mendapatkan kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pejabat Tanah Daerah Klang, Pejabat Kesihatan serta Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 3:42 PM