SEBUAH kilang kitar semula plastik terpakai  di Shah Alam didenda  oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA). FOTO ihsan JAS
SEBUAH kilang kitar semula plastik terpakai di Shah Alam didenda oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA). FOTO ihsan JAS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebuah kilang kitar semula plastik terpakai di daerah ini, didenda RM75,000 atas dua pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor Nor Aziah Jaafar berkata, syarikat terbabit didenda kerana menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) dan tanpa mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pengeluaran pencemaran udara.

"Hakim Rofiah Mohamad menjatuhi hukuman itu terhadap terhadap syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS). Pengarah syarikat itu yang berusia 47 tahun hadir di mahkamah hari ini dan mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

"Bagi pertuduhan pertama, pada 16 Ogos 2019, syarikat itu didapati menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan EIA mengikut Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Bagi pertuduhan kedua pula, syarikat itu didapati gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pencemaran udara mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014," katanya pada kenyataan.

Nor Aziah berkata, JAS sentiasa mengambil tindakan dan tidak berkompromi dengan penjenayah alam sekitar.

Aduan berkaitan aktiviti yang mencemarkan alam sekitar boleh disalur ke talian 1-800-88-2727, emel [email protected] atau layari https://eaduan.doe.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:56 PM