KILANG kitar semula bateri kadmium dan lithium yang beroperasi secara haram. FOTO ihsan JAS Pulau Pinang
KILANG kitar semula bateri kadmium dan lithium yang beroperasi secara haram. FOTO ihsan JAS Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan 93 kompaun berjumlah RM186,000 terhadap kilang kitar semula bateri kadmium dan lithium terpakai yang beroperasi secara haram dalam kilang plastik di Ara Kuda, dekat sini, semalam.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya melakukan serbuan ke atas premis itu selepas memperoleh maklumat berhubung kewujudan kilang haram.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis dipercayai milik warga China menjalankan aktiviti pengolahan dan pemerolehan kembali bateri kadmium dan lithium terpakai tanpa mendapat lesen.

"Susulan itu, kita menyita sebanyak 250 bekas yang mengandungi buangan bateri lithium-kadmium terpakai di kilang terbabit serta mengeluarkan sebanyak 93 kompaun berjumlah RM186,000.

"Kilang itu juga dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran serta-merta daripada aktiviti pemanasan serta pembakaran buangan terjadual daripada terus berlaku yang seterusnya boleh mengakibatkan pencemaran udara," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bahan buangan kilang itu dibawa masuk melalui kargo udara.

"Kargo udara dipercayai digunakan bagi mengelak pemeriksaan ketat kontena melalui jalan laut," katanya.

Sharifah Zakiah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana beroperasi tanpa lesen yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 dan atau penjara dua tahun penjara.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 34A(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu menjalankan aktiviti kitar semula buangan terjadual tanpa mengemukakan laporan penilaian kesan impak alam sekitar (EIA) dan memperolehi kelulusan terlebih dulu.

"JAS mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah alam sekitar atau pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 2:37 PM