FOTO hiasan
FOTO hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kilang kitar semula plastik terpakai di Banting didenda RM120,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini, kerana menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan memaklumkan, denda berkenaan dijatuhi Hakim Tengku Shahnizam Tuan Lah terhadap syarikat dan pengarah syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS) yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Katanya, syarikat dan pengarahnya didakwa dengan lapan pertuduhan masing-masing empat pertuduhan untuk syarikat dan empat lagi terhadap pengarahnya.

"Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua OKS didakwa menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan EIA seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, syarikat serta pengarahnya didakwa gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pengeluaran efluen perindustrian dan pencemaran udara seperti kehendak mengikut Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

"Bagi pertuduhan keempat pula, kedua-dua OKS didakwa gagal memasang alat kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah," katanya.

Beliau berkata, mengikut semua pertuduhan itu, kedua-dua OKS didakwa melakukan perbuatan itu pada 4 Oktober 2018.

Beliau berkata, JAS Selangor akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 8:48 PM