ANTARA kilang yang diaran henti operasi. FOTO ihsan JAS
ANTARA kilang yang diaran henti operasi. FOTO ihsan JAS
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan dua kilang kitar semula plastik di Kawasan Perusahaan Perai, di sini menghentikan operasi serta merta kerana didapati menyebabkan pencemaran air, udara dan bunyi.

Arahan itu dikeluarkan semalam mengikut Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selepas JAS membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua kilang terbabit.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya mengadakan pemeriksaan selepas mendapat aduan orang awam.

"Siasatan mendapati salah satu kilang menjalankan operasi kitar semula sisa plastik tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

"Kilang ini menggunakan mesin penghancur plastik dan menghasil resin hingga menyebabkan bunyi bising kepada penduduk berhampiran terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

"Pada masa sama kilang ini yang mempunyai Lesen Import (AP) sisa plastik juga didapati menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa sistem pengolahan efluen perindustrian," katanya dalam kenyataan,di sini, hari ini.

Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, sebuah lagi kilang didapati gagal mengendali dan menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara kotak sembur.

"Kilang ini menjalankan operasi pengacuan plastik yang menjadi punca pencemaran habuk hitam ke kawasan berhampiran.

"Oleh itu, kedua-dua kilang ini diarahkan menghentikan operasi bagi membolehkan siasatan lanjut diadakan pihak JAS sekali gus memastikan pencemaran ini tidak berlaku secara berterusan" katanya.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 7(3), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 12:40 PM