Norreaida ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mewakili Twin Cycle Resources Sdn Bhd yang didakwa  menjalankan operasi tanpa kelulusan dan mengikut prosedur ditetapkan hingga menyebabkan berlakunya pencemaran. Foto Saddam Yusoff
Norreaida ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mewakili Twin Cycle Resources Sdn Bhd yang didakwa menjalankan operasi tanpa kelulusan dan mengikut prosedur ditetapkan hingga menyebabkan berlakunya pencemaran. Foto Saddam Yusoff
Norrasyidah Arshad


SYARIKAT kitar semula, Twin Cycle Resources Sdn Bhd didenda sebanyak RM80,000 selepas didapati bersalah menjalankan operasi tanpa kelulusan hingga menyebabkan berlakunya pencemaran.

Hakim Mahkamah Sesyen Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas pengurus syarikat berkenaan yang mewakili Twin Cycle Resources, Norreaida Md Shah, 36, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan terhadapnya.

Rofiah berkata, keputusan dibuat selepas mahkamah mengambil kira kepentingan semua pihak selepas pendakwaan melihat kesalahan syarikat itu boleh menjejaskan orang ramai.

“Walaupun kita berniaga cari rezeki tetapi kita perlu prihatin dengan kesan aktiviti kitar semula ini terutama kepada orang ramai.

“Jangan hanya fikir keuntungan sahaja tetapi kena juga bertanggungjawab dengan orang sekeliling.

“Mungkin perniagaan kita beri kesan kepada bayi, warga emas, pesakit asma, binatang, hidupan sungai serta boleh jejaskan pendapatan orang lain,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat terbabit didapati menjalankan aktiviti kitar semula sisa pepejal plastik terpakai tanpa mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling mengikut cara ditetapkan.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat berkenaan yang mula beroperasi tahun ini didakwa gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Pengarah Alam Sekeliling sebelum membina kemudahan membasuh plastik terpakai hingga menghasilkan punca baru pembuangan perindustrian.

Syarikat berkenaan turut dituduh gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada Pengarah Alam Sekeliling sebelum memulakan operasinya yang telah mengakibatkan pencemaran udara.

Bagi pertuduhan terakhir, syarikat itu didakwa gagal melengkapkan premis dengan sistem kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi ditetapkan.

Semua kesalahan berkenaan dilakukan di Kawasan Perindustrian Sungai Choh, Rawang pada 12 tengah hari, 5 Mac lalu.

Berikutan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974 dan mengikut Peraturan 4(1)(b) Peraturan Kualiti Alam Sekililing (Influen Perindustrian) 2009 serta Peraturan 5(1)(b) dan Peraturan 7(1) Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2014, akta yang sama.

Sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh didenda tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Bagi kesalahan pertama, Rofiah menetapkan denda sebanyak RM35,000, manakala kesalahan kedua, ketiga dan keempat ditetapkan denda berjumlah RM15,000 setiap kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Nor Faizura Mohd Ali, manakala peguam Nasrul Hadi Mat Saad mewakili syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 3:39 PM