ANGGOTA JAS mengambil sampel buangan eletronik. FOTO IHSAN JAS
ANGGOTA JAS mengambil sampel buangan eletronik. FOTO IHSAN JAS
Ruwaida Md Zain


Klang: Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pemprosesan buangan elektrik dan elektronik terpakai tanpa sebarang kelulusan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) didenda sebanyak RM180,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata, syarikat terletak di Jalan Kapar di sini, didenda atas 10 pertuduhan berhubung aktiviti memproses komponen elektrik dan elektronik terpakai tanpa kelulusan JAS.

Menurutnya. Hakim, Ariffin Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap terhadap syarikat dan pengarah syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS).

"Pengarah syarikat yang berusia 40 tahun itu mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan dikenakan ke atas syarikatnya dan lima pertuduhan lagi dikenakan terhadap dirinya," katanya semalam.

Nor Aziah berkata, bagi pertuduhan pertama pada 14 Mei 2019, syarikat dan pengarahnya didapati menjalankan aktiviti penstoran luar tapak bagi buangan elektrik dan elektronik terpakai tanpa kelulusan.

"Bagi pertuduhan kedua pula, pihak terbabit didapati menjalankan aktiviti itu tanpa sebarang Kebenaran Bertulis daripada Ketua Pengarah mengikut Seksyen 19(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Bagi pertuduhan ketiga pula, pihak terbabit didapati menjalankan aktiviti itu tanpa sebarang lesen sebagai Premis Yang Ditetapkan daripada Ketua Pengarah mengikut Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Bagi pertuduhan keempat pula, pihak terbabit didapati gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pencemaran udara mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

"Sementara itu, pertuduhan kelima pula syarikat dan pengarahnya didapati gagal memasang alat kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah mengikut Peraturan 7(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014," katanya.

Beliau berkata, JAS akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 8:19 PM