LISA (tengah) melawat pameran UNICEF Borneo Marathon di Kota Kinabalu. Turut kelihatan, Clark-Hattingh (tiga kiri) dan Heng (lima kanan). FOTO Edmund Samunting
LISA (tengah) melawat pameran UNICEF Borneo Marathon di Kota Kinabalu. Turut kelihatan, Clark-Hattingh (tiga kiri) dan Heng (lima kanan). FOTO Edmund Samunting
Olivia Miwil


PELAKON Lisa Surihani adalah antara kira-kira 11,000 peserta yang dijangka mengambil bahagian dalam program larian tahunan Borneo Marathon, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Kota Kinabalu, esok.

Selebriti berumur 33 tahun itu yang juga Duta UNICEF di Malaysia akan memulakan larian tiga kilometer bersama kanak-kanak normal dan kurang upaya serta keluarga mereka pada 6.45 pagi.

“Saya memang menunggu untuk menyertai maraton ini sejak dua tahun lalu tetapi saya tidak dapat melakukannya kerana mengandung dan melahirkan pada tahun lalu.

“Kali ini, larian tiga kilometer adalah permulaan yang baik untuk rutin latihan saya yang terluang,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Lisa, yang juga ibu kepada dua anak itu turut berlari untuk mempromosikan pemakanan baik dengan tema #kurangmanis because #Imsweetenough.

Turut hadir ialah wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh dan Presiden Kelab Larian Kinabalu, Datuk Dr Heng Aik Cheng.

Sementara itu, Clark-Hattingh berkata, kanak-kanak perlu digalakkan mengamalkan gaya hiidup sihat dari awal untuk kesihatan dan kebaikan masa depan.

“Mari bawa anak kita keluar untuk memulakan gaya hidup sihat dengan mengatakan `kurang manis’ hari ini untuk esok yang lebih manis.

“Obesiti dan memiliki berat berlebihan memberikan kesan terhadap kesihatan kanak-kanak. Ia menjejaskan prestasi mereka dalam akademik di sekolah, sosial dan keseluruhannya. Ia memberi kesan buruk kepada pembangunan negara,” katanya.

Berdasatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur antara lima tahun hingga 19 tahun di Malaysia adalah yang kedua tertinggi di ASEAN selepas Brunei.

Bersempena dengan maraton itu, satu siri acara budaya makan sihat akan diadakan di 12 sekolah membabitkan 8,600 pelajar.

Dalam pada itu, Dr Aik Cheng berkata, Borneo Marathon mengalu-alukan menjadi rakan UNICEF yang masuk tahun ketiga bagi menjalankan kempen yang sangat bermakna itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 5:57 PM