MUHAMMAD Zharif berjaya menamatkan larian ‘trail’ sejauh 12 kilometer pada program The Most Beautiful Thing (TMBT) Ultra-Trail Marathon 2017 untuk Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) #THISABILITY.
MUHAMMAD Zharif berjaya menamatkan larian ‘trail’ sejauh 12 kilometer pada program The Most Beautiful Thing (TMBT) Ultra-Trail Marathon 2017 untuk Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) #THISABILITY.
HM Digital

Melihat lelaki ini, pasti akan membuatkan ramai mengaguminya. Meskipun tidak dilahirkan sempurna seperti insan normal lain iaitu tanpa dua tangan bukan penghalang dia melakukan aktiviti yang mencabar keupayaannya.

Untuk rekod, Muhammad Zhariff Affandi, 36,pernah menyempurnakan satu acara larian sejauh 85 kilometer (km) pada 2011 dan pencapaian itu membuktikan dirinya seorang luar biasa.

Terbaharu, dia menyertai The Most Beautiful Thing (TMBT) Ultra-Trail Marathon 2017 untuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) #THISABILITY yang turut disertai kira-kira 1,500 peserta di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Walaupun hanya dapat menamatkan larian ‘trail’ 12km berbanding pendaftaran awal untuk acara 30km atas faktor tidak dapat dielakkan, Muhammad Zhariff tetap tidak berputus asa.

Katanya, dia sememangnya meminati acara sukan lasak termasuk selam skuba yang dilakukan bukan saja untuk kepuasan diri tetapi juga memberikan kesedaran kepada orang lain bahawa orang kurang upaya (OKU) juga mampu melakukan aktiviti itu seperti orang normal lain.

“Apatah lagi jika sesuatu aktiviti diadakan bertujuan untuk membantu OKU lain dan saya tidak teragak-agak menyertai­nya.

“Sebab itu saya sertai program ini ( (TMBT) Ultra-Trail Marathon 2017) dan ini acara pertama selepas berehat sejak tiga tahun lalu,” katanya kepada Nuansa.

Dia yang juga Duta Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) berkata, sebelum ini dia memang aktif menyertai acara larian maraton dan ‘trail’ dan berhenti sementara waktu kerana kesibukan dengan kerjaya, perniagaan dan keluarga yang kebetulan baru menimang cahaya mata.

“Selain itu, kaki saya juga pernah cedera kerana aktiviti (larian maraton) lepas menghalang untuk aktif.

“Kira-kira enam bulan lalu, saya menjalani rawatan fisioterapi dan alhamdulillah kaki sudah kembali pulih seperti sediakala,”katanya.

Menurutnya, dia mempunyai impian menyertai satu acara ‘trail’ yang lebih mencabar pada peringkat antarabangsa dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Selain itu, Muhammad Zhariff turut memberikan pesanan kepada OKU lain supaya berasa yakin de­ngan diri sendiri dan tidak berasa malu untuk menonjolkan diri.

Sementara itu wakil UNICEF di Malaysia Marianne Clark Hattingh berkata, program berkenaan diadakan sebagai kempen meningkatkan kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap golongan terbabit.

“Kami juga mahu mewujudkan masyarakat inklusif yang mana mereka tidak mempunyai rasa meminggirkan golongan bukan setaraf dengan mereka iaitu OKU.

“Golongan ini perlu mendapat hak yang sama seperti orang lain (normal) dalam aspek pendidikan, pekerjaan dan sosial,” katanya. -Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 11:08 AM