LISA dan Siwon (kiri) bergambar bersama pelajar SMK Tinggi Kajang. FOTO Rosela Ismail
LISA dan Siwon (kiri) bergambar bersama pelajar SMK Tinggi Kajang. FOTO Rosela Ismail
Mohamad Hussin


KEMUNCULAN istimewa artis Korea Siwon Choi daripada kumpulan Super Junior dan pelakon Lisa Surihani menggamatkan suasana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang, sempena kempen #StandTogether.

Siwon yang dilantik sebagai wakil khas UNICEF Korea Selatan manakala Lisa sebagai Duta UNICEF Malaysia meluangkan masa lebih dua jam di sekolah berkenaan, semalam.

Wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh berkata, kempen #StandTogether bertujuan menyeru orang ramai supaya bersatu dengan mangsa buli untuk menunjukkan bahawa mereka tidak keseorangan.

Menurutnya, UNICEF sangat komited untuk menangani segala bentuk buli serta memastikan mekanisme yang sedia ada melindungi pelajar dan kanak-kanak daripada kesan negatif.

“Di sekolah, kanak-kanak akan berkembang jika mereka dapat menuntut ilmu dalam suasana pembelajaran yang selamat, seterusnya memupuk nilai, lantas menggalakkan pelajar ini untuk menjadi warga negara yang bertanggungjawab.

“Matlamat kempen #StandTogether yang dilancarkan tahun lalu adalah untuk memperkasa pelajar untuk mencetuskan revolusi kebaikan di seluruh negara.

“Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat inisiatif yang dipimpin pelajar untuk menamatkan pembuli melalui kebaikan sebagai sebahagian daripada kempen #StandTogether di seluruh negara untuk mengakhiri keganasan terhadap kanak-kanak,” katanya.

Turut hadir, Pengetua SMK Tinggi Kajang, Zaiazman Mohd Zainuddin.

Marianne berkata, inisiatif global UNICEF bagi mencetus perbincangan yang diterajui pelajar di seluruh negara yang membolehkan suara mereka disalurkan untuk membentuk manifesto belia global kepada pemimpin dunia.

Sementara itu, Lisa berkata, program yang diadakan ini membolehkan pelajar menyuarakan pendapat mengenai perkara yang berlaku di sekitar mereka.

“Program ini membolehkan pelajar menyuarakan pendapat mengenai kesaksamaan jantina, keamanan, persekitaran dan sebagainya.

“Kita sebagai golongan dewasa tidak seharusnya memandang rendah terhadap pendapat disuarakan kanak-kanak, ini kerana berkemungkinan besar mereka mengetahui lebih banyak perkara berbanding orang dewasa,” katanya.

Siwon pula berkata, dia yang sudah melawat beberapa negara di bawah program UNICEF tidak kekok melayan pelajar serta menghiburkan mereka walaupun dibatasi perbezaan bahasa.

PIX ROSELA ISMAIL

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 10:23 AM