Aniza Zainudin


Bagi mengekang gejala buli, seramai 10,000 peserta menyatakan sokongan dengan menyertai larian UNICEF Borneo Marathon di Kota Kinabalu, Sabah sempena kempen #StandTogether, pada 6 Mei lalu.

Penganjuran larian sejauh tiga kilometer bagi kanak-kanak termasuk orang kurang upaya itu bertujuan menyemarakkan sokongan antara satu sama lain apabila mereka berlari di samping teman dan keluarga, sekali gus menjadi simbolik kepada usaha untuk sentiasa berbaik hati.

Objektif kempen #StandTogether ini turut menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyatakan sokongan kepada mangsa buli bahawa mereka tidak keseorangan, seterusnya menolak perilaku pembuli.

Wakil UNICEF Malaysia, Marianne Clark-Hattingh berkata, impak gejala buli tidak boleh dilihat menerusi mata kasar.

DISERTAI kira-kira 10,000 peserta.
DISERTAI kira-kira 10,000 peserta.

“Kata-kata, stigma dan dipinggirkan daripada kelompok tertentu boleh menjejaskan harga diri kanak-kanak. Perilaku ini membuatkan kanak-kanak atau mangsa buli tersisih dan berasa keseorangan tanpa sokongan.

“Larian ini diadakan bertujuan membuktikan tanda sokongan kepada mangsa buli dan berhasrat untuk tidak mengulangi kitaran keganasan membuli si pelaku.

“Melalui perbuatan baik, kita ingin menghentikan keganasan yang dilakukan ke atas kanak-kanak.

“Tinjauan Children4Change UNICEF 2017, mendedahkan tiga daripada empat kanak-kanak ingin menamatkan keganasan termasuk buli dan penderaan di samping mahukan pendidikan berkualiti serta menamatkan kemiskinan.

“Tiada sesiapa yang kebal daripada gejala buli sama ada ahli keluarga, rakan kita boleh menjadi mangsa atau pembuli. Gejala negatif ini mudah merebak dan memberi kesan terhadap kehidupan anak mahupun ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menghargai sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia, sebanyak 700 sekolah di seluruh negara menyertai kempen #StandTogether dan mengambil bahagian dalam Minggu Baik Hati Kebangsaan yang julung kalinya diadakan April lalu.

Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac, Sabah dinobatkan sebagai ‘Sekolah Paling Baik Hati di Malaysia’ daripada 120 sekolah yang bertanding.

LARIAN menolak gejala buli.
LARIAN menolak gejala buli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 12:53 PM