BENGKEL Young Changemakers 2016.
BENGKEL Young Changemakers 2016.

Selepas berjaya menemui tiga pelajar yang mampu menjadi menjadi contoh kepada perubahan positif tahun lalu, program pencarian orang muda berwibawa, Young Changemakers, meneruskan usaha mereka buat kali kedua berturut-turut pada tahun ini.

Pencarian itu dilancarkan tiga penerima Anugerah Pembuat Perubahan Muda Tuanku Bainun tahun lalu iaitu Leah Choy Sze Qin, Loh Shi Ya dan Firdaus Ahmad Farouk.

Ia dijayakan bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Unicef dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya.

Program bermula dengan pelancaran bengkel selama 90 minit untuk memberi maklumat mengenai membuat perubahan dan bagaimana sesuatu projek serta idea dapat dimulakan.

Bengkel yang dikendalikan oleh Pengarah Program, Abby Latif itu membabitkan 120 pelajar tingkatan satu SMK Damansara Jaya, yang turut menyertai pelancaran Young Changemakers tahun ini bersama 40 tetamu lain.

Turut hadir, Penolong Ketua Pengarah Unit Sokongan Akademik Bahagian Seni dan Kurikulum Kementerian Pendidikan Roslina Mohd Roslin, Pengurus Besar Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun Raja Mazlena Raja Aziz, wakil UNICEF ke Malaysia, Marianne Clark-Hattingh dan Pengetua Digi CyberSAFE Sustainability from Digi Telecommunications, Philip Ling Oon Hun.

Program Young Changemakers dimulakan tahun lalu bagi memberi pengiktirafan kepada kanak-kanak di negara ini berusia antara enam hingga 15 tahun, dari segi semangat, ketahanan dan sumbangan memberi ilham dalam menjadikan dunia lebih baik.

Bertepatan Hari Kanak-Kanak Sedunia, anugerah itu disampaikan oleh Raja Permaisuri Tuanku Bainun Mohamad Ali pada Persidangan Young Changemakers 2015 yang julung kali diadakan dan disaksikan 150 pelajar yang mengambil bahagian.

Presiden dan Pengasas WOMEN:girls, Low Ngai Yuen berkata, kisah yang dikutip daripada peserta tahun lalu memberinya keyakinan terdapat ramai kanak-kanak hebat yang menjadi ejen perubahan seperti yang kita inginkan.

“Tahun ini kami ke sekolah dan badan komuniti untuk memperkenalkan idea perubahan ini supaya setiap kanak-kanak menyedari peranan dan tanggungjawab mereka untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

“Ia bagaikan suatu rahmat dapat menyaksikan sendiri dorongan kuat untuk melakukan perubahan yang datangnya daripada generasi masa hadapan,” katanya.

Penyertaan mereka penting kerana masa membuktikan kanak-kanak mampu membawa perubahan dalam kehidupan keluarga mereka, sekolah dan komuniti melalui penyertaan dalam aktiviti sosial, ekonomi, persekitaran, sukan dan aktiviti kebudayaan.

Pihak sekolah digalakkan menghantar penyertaan Young Changemakers 2016, yang dibuka dari 26 Julai lalu hingga 30 September ini, melalui www.womengirls.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 5:31 AM