FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Balqis Jazimah Zahari


PASUKAN bomba disaran memperbanyakkan aktiviti berasaskan sukan dan kecergasan yang bertujuan bukan sahaja bagi menjaga kesihatan tetapi meningkatkan stamina dalam berdepan insiden di luar jangkaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan , Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata, aspek berkenaan perlu ditekankan berikutan pasukan bomba antara yang memikul tanggungjawab keselamatan masyarakat.

"Sukan adalah aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan selain memupuk semangat persahabatan dan perpaduan dalam diri tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

"Pasukan keselamatan khususnya bomba diharap dapat memperbanyakkan lagi aktiviti sukan dan kecergasan bagi memantapkan persiapan dalam berhadapan apa jua kes luar jangka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pasukan Bomba Negeri Perak ke Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) 2018 serta Penutupan Kursus Kecemerlangan Sukan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Bandar Meru Raya, Ipoh, hari ini.

Paul Yong juga berharap agar banyak lagi aktiviti kebombaan bersama masyarakat diadakan bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat tanpa mengira peringkat umur.

"Ini kerana kes-kes kecemasan tidak mengira umur dan waktu, jika masyarakat mempunyai ilmu dan kesedaran terhadap bahaya kebakaran atau bantuan kecemasan maka kes kecemasan dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis, berkata kontinjen Perak menghantar seramai 119 peserta dalam sukan dwi tahunan itu dengan menyertai 11 kategori acara antaranya golf, renang, boling, badminton, tenis, karom, ping pong dan olahraga.

"Sebelum ini JBPM Perak memperolehi lapan pingat emas, jadi kali ini kita menyasarkan 11 emas bagi semua kategori ditandingi," katanya.

SUKBOM 2018 akan berlangsung selama lima hari bermula esok dengan Melaka menjadi tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 1:44 PM