ANGGOTA bomba yang akan menyertai kejohanan SUKBOM. FOTO Zuliaty Zulkifli
ANGGOTA bomba yang akan menyertai kejohanan SUKBOM. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mensasarkan lima pingat emas, tujuh perak dan lapan gangsa dalam Sukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (SUKBOM) yang akan bermula esok.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Ahmad Shahabuddin berkata, 63 atlet yang terpilih daripada 16 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri akan menyertai lapan acara sukan yang dipertandingkan.

Beliau berkata, antara acara terbabit termasuklah olahraga, tenpin boling, dart, ping pong, tarik tali, karom, golf, tenis dan ‘fire band’.

"Bagaimanapun kita mensasarkan pingat emas dalam acara tarik tali, dua kategori bagi tenpin boling, ping pong dan olahraga berikutan kesungguhan anggota kita menjalani latihan sebelum ini.

"Semua anggota yang terbabit dalam kejohanan sukan ini menjalani latihan sejak dua minggu lalu dan kita berharap lebih banyak pingat emas diperolehi," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bendera kontinjen kepada Ketua Kontinjen, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Abd Kadir di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak di sini, pagi tadi.

Kejohanan SUKBOM akan bermula esok hingga 27 Julai di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 11:02 AM