IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Farah Suhaidah Othman


ANGGOTA bomba meninggal dunia akibat serangan jantung ketika hendak memulakan tugas ke lokasi kebakaran kedai di Laluan Tawas di Ipoh, awal hari ini.

Azaman Abd Aziz, 50, rebah dan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Yahaya Madis, berkata ketika kejadian, mangsa berada di pos kawalan yang diwujudkan di Jalan Kampar berikutan lokasi itu jauh dari balai utama.

Katanya, mangsa yang bertugas sebagai pemandu jentera di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, tiba-tiba rebah selepas menghidupkan enjin jentera untuk ke lokasi kebakaran, pada 4.30 pagi.

“Sebaik menghidupkan enjin mangsa turun dari jenteranya sementara menunggu anggota lain menaiki jentera.

“Namun sebaik semua anggota naik, mangsa didapati tidak berada dalam jentera itu.

“Anggota kemudiannya turun untuk mencari mangsa sebelum mendapati mangsa rebah berdekatan dengan jentera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Yahya berkata, mangsa dibawa ke wad kecemasan HRPB dengan kenderaan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS).

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat serangan jantung.

Menurutnya, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Gurap, Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, selepas solat Asar, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 2:05 PM