PEMAIN futsal Bomba Melaka dan Arena FM bergambar kenangan sebelum perlawanan persahabatan
PEMAIN futsal Bomba Melaka dan Arena FM bergambar kenangan sebelum perlawanan persahabatan

Melaka: Pasukan futsal Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka berazam mengekalkan kejuaraan pada Kejohanan Futsal Bomba Malaysia (SUKBOM) yang bakal berlangsung di Kelantan pada 14 hingga 18 Ogos depan.

Penolong pengurus skuad Bomba Melaka Adenan Hassan berkata, pasukannya menjalani persiapan rapi dengan latihan lebih sebulan di bawah kendalian jurulatih Mahadir Taha di Kompleks Komuniti Paya Rumput.

Katanya, beberapa perlawanan persahabatan turut diatur menjelang kejohanan antaranya berdepan kelab Ornasteel FC, Amstrong FC selain Penjara Melaka dan Arena FM Melaka.

Menurutnya, komitmen tinggi pemain sepanjang latihan dan perlawanan persahabatan memberi harapan bahawa mereka mampu mempertahankan kejuaraan di kejohanan dwitahunan terbabit.

“Apapun, kami tetap waspada dengan ancaman beberapa pasukan lain terutama Putrajaya, Selangor, Sarawak, Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak.

“Namun, jika prestasi pemain dan persefahaman kami kian mantap, tidak mustahil Bomba Melaka mampu muncul juara dua tahun berturut-turut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin kerana pasukan lain juga memiliki ramai muka baru yang hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 11:04 AM