Mayat pendaki warga emas berusia 66 tahun yang meninggal dunia ketika melakukan pendakian di kawasan puncak Gunung Yong Belar dekat sini berjaya diturunkan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di padang kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta petang ini. FOTO IHSAN BOMBA PERAK
Mayat pendaki warga emas berusia 66 tahun yang meninggal dunia ketika melakukan pendakian di kawasan puncak Gunung Yong Belar dekat sini berjaya diturunkan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di padang kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta petang ini. FOTO IHSAN BOMBA PERAK
Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Selepas tiga hari, mayat pendaki warga emas berusia 66 tahun yang meninggal dunia ketika melakukan pendakian di kawasan puncak Gunung Yong Belar dekat sini akhirnya berjaya dibawa turun menggunakan helikopter di padang kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta petang ini.

Jurucakap dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata mangsa berjaya diturunkan dengan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) jam 1.30 petang.

Menurutnya, operasi memasuki hari ketiga itu menggunakan unit udara JBPM berlepas dari padang Kem PGA Ulu Kinta di sini pada jam 9.22 pagi.

"Keseluruhan kekuatan anggota seramai 23 orang daripada pelbagai agensi termasuk bantuan unit Multi Skill Team (MUST) melakukan operasi menurunkan untuk mangsa dari puncak gunung.

"Mayat diserahkan kepada polis sebaik dibawa turun untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, polis menyelaras dengan JBPM Perak untuk menjalankan operasi menurunkan mayat mangsa dari tempat kejadian.

Mengambil kira faktor bentuk muka bumi dan keadaan cuaca yang mencabar di tempat kejadian, pihak JBPM mendapatkan bantuan pesawat helikopter dari ibu pejabat untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR).

Terdahulu, Selasa lalu, lelaki warga emas dilaporkan meninggal dunia di kawasan puncak Gunung Yong Belar, dekat sini, ketika melakukan pendakian gunung itu bersama 13 pendaki lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 3:26 PM