ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Genting, Bentong dan Karak, menyediakan kelengkapan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Genting, Bentong dan Karak, menyediakan kelengkapan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mensasarkan purata masa tindak balas kebangsaan tidak melebihi 10 minit bagi sekurang-kurangnya 60 peratus kes kecemasan yang diterima tahun ini.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, berdasarkan statistik negeri Selangor, kes kecemasan saban tahun terus meningkat.

Menurutnya, tahun lalu, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebanyak 31,467 kes; 2020 (26,452 kes); 2019 (25,055) dan 2018 sebanyak 20,570 kes.

"Ini menunjukkan jangkaan dan keperluan masyarakat terhadap perkhidmatan kebombaan khususnya JBPM negeri Selangor sentiasa berkembang.

"Kehendak masyarakat yang mahukan bomba sentiasa berkhidmat untuk masyarakat tidak kira bantuan kecil atau besar," katanya kepada Harian Metro sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia yang disambut semalam.

Norazam berkata, dalam menjayakan hasrat ini, masa tindak balas sampai ke lokasi kecemasan adalah salah satu elemen yang menjadi kayu pengukur.

"Bagi tahun ini, jabatan mensasarkan purata masa tindak balas kebangsaan tidak melebihi 10 minit bagi sekurang-kurangnya 60 peratus kes kecemasan yang dihadiri.

"Perkara ini diterjemahkan dengan penambahan bilangan balai dan keanggotaan di lokasi yang strategik," katanya.

Di samping itu katanya, penggunaan teknologi terkini dan kepakaran yang bersesuaian dengan peredaran masa juga dititik beratkan.

"Bukan sahaja 'response time', tindakan pemadaman dan penyelamatan juga perlu pantas dan berkesan.

"JBPM kini perlu seiring dengan teknologi media massa yang pantas, sentiasa memberi maklumat cepat dan menenangkan netizen dengan politik gambar.

"JBPM juga dalam usaha memberi latihan dan pembelian teknologi baru seperti dron," katanya.

Beliau berkata, walaupun berdepan kesukaran semasa berlakunya pandemik Covid-19, JBPM Selangor sentiasa komited menjalankan tugas.

"Cabaran seumpama ini dan cabaran lain akan sentiasa ditangani dengan sebaik mungkin.

"Pada perayaan Aidilfitri tahun ini, jabatan membenarkan sebahagian kecil atau 20 peratus anggota sahaja untuk bercuti. Kita tetap bertugas tidak mengira waktu demi menjaga keselamatan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 11:14 PM