GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Azurin Mohd Sharif

POLIS menahan 149 individu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian di Melaka sepanjang tempoh Januari hingga Mei lalu.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew berkata, tahanan itu hasil 206 serbuan di pelbagai kawasan dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, hasil serbuan terhadap aktiviti loteri awam tanpa lesen juga membawa kepada rampasan wang tunai berjumlah RM27,704 bagi tempoh sama.

“Selain itu, polis turut menjalankan operasi membanteras aktiviti perjudian mesin, judi dalam bangunan, judi di tempat bebas dan pengendali pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2018 dengan membabitkan rampasan wang tunai berjumlah RM127,107 sehingga Mei lalu, berbanding RM275,332 bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Dalam Ops Dadu Khas bermula dari 10 hingga 23 Jun lalu pula, sebanyak 51 premis diperiksa oleh pihak berkuasa dengan tangkapan seramai 15 individu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan berterusan akan dilakukan oleh pihak polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen di negeri ini.

“Kita sentiasa menyokong usaha pihak polis untuk membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen dan sedia bekerjasama melalui agensi kerajaan, khususnya PBT bagi menangani masalah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 3:19 PM