GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Tujuh individu ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1958 (POCA) dari Januari hingga 10 Oktober lalu dalam usaha banteras judi tanpa lesen.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, dalam usaha membanteras kegiatan judi di negeri ini, Polis Perak mengambil tindakan pencegahan dengan menahan individu berkenaan mengikut POCA yang turut dikenakan perintah sekatan dan tahanan.

Menurutnya, dalam tempoh sama, 657 serbuan ke atas premis membabitkan aktiviti perjudian tanpa lesen membawa kepada 1,380 tangkapan hasil daripada 2,574 pemeriksaan yang dilaksanakan.

"Bagi tempoh yang sama juga, 457 mesin perjudian atas talian (online)/Pusat Hiburan Keluarga (PHK) dan wang tunai sebanyak RM549,602 membabitkan perjudian loteri awam tanpa lesen, catat taruh judi dalam bangunan, judi tempat awam dan mesin perjudian dirampas.

"Polis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam di atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan kepada pihak polis dalam usaha mengekang dan menghapuskan kegiatan perjudian di negeri Perak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tian Kee berharap kerjasama yang diberikan dapat dikekalkan dan menyaran sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perjudian tanpa lesen supaya menyalur maklumat berkaitan ke Bilik Gerakan Kontinjen Perak di talian 05-2401999, 05-2535472 atau 05-2451072.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 6:42 PM