TIGA individu ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket perjudian atas talian di Taman Puchong Prima.
TIGA individu ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket perjudian atas talian di Taman Puchong Prima.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Guna khidmat ‘jaga air’ untuk tapis identiti kaki judi selain memastikan hanya kaki judi tulen saja dibenarkan menyertai kegiatan pertaruhan.

Tapisan ketat ini dikesan dilakukan ‘jaga air’ dalam kalangan lelaki tempatan yang berkemampuan mengendalikan pertaruhan judi dalam talian menggunakan telefon pintar atau tablet.

Terbaru pihak polis Daerah Subang Jaya mengesan aktiviti ‘jaga air’ yang menjadikan restoran di daerah ini sebagai markas operasi.

Berdasar maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya melakukan serbuan di sebuah restoran di Taman Puchong Prima di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 1 pagi itu, polis menyerbu restoran berkenaan yang dijadikan ‘markas’ berkumpul untuk berjudi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, polis menahan tiga individu termasuk dua wanita warga asing disyaki juruwang sindiket berkenaan.

“Polis turut merampas sejumlah wang tunai, telefon pintar dipercayai milik pelanggan dan buku catatan.

“Suspek ditahan dipercayai mengatur pertaruhan dan hanya berurusan dengan individu yang diyakini saja termasuk pelanggan tetap.

“Polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti perjudian dalam talian dan akan terus memantau bagi membanteras aktiviti ini,” katanya.

Rabu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan 22,300 individu ditahan dalam 12,449 serbuan membabitkan pelbagai kes perjudian di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 5 September tahun ini.

Menurutnya, jumlah tangkapan itu berkurangan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 12,628 individu menerusi 24,338 operasi.

Bagaimanapun katanya, kadar rampasan tunai mencatatkan peningkatan iaitu RM4,676,359 berbanding RM3,735,667 tahun lalu.

Beliau berkata, tumpuan kaki judi beralih kepada aktiviti judi loteri awam tanpa lesen yang mencatatkan rampasan wang tunai sehingga RM1,471,359 menerusi 7,947 serbuan premis, dengan 8,375 tangkapan individu.

“Sebanyak 3,297 lagi serbuan membabitkan perjudian mesin dengan 9,764 tangkapan selain rampasan 25,267 mesin perjudian, manakala 1,205 serbuan membabitkan lain-lain judi dengan 4,161 tangkapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 12:59 PM