KEADAAN didalam pusat judi.
KEADAAN didalam pusat judi.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adwiyah Ismail


Kuching: Beroperasi di premis yang jauh dari bandar dan kelihatan dari luar seperti bangunan kosong tetapi dalam diubah suai seperti mini kasino antara taktik pengusaha judi tanpa lesen untuk terus beroperasi di negeri ini.

Biarpun polis giat memerangi kegiatan itu, tauke judi tidak serik terus beroperasi dengan melakukan pelbagai taktik bagi memastikan perniagaan terus berjalan.

Walaupun tanpa promosi, sokongan dan permintaan tahi judi antara penyebab perniagaan tanpa lesen itu terus berjalan meskipun dalam skala kecil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Dev Kumar berkata, sebelum ini polis berdepan dengan kegiatan perjudian dalam talian yang tiada berkesudahan kerana ada saja taktik terbaru pengusaha untuk terus beroperasi.

Bagaimanapun, ketika ini perjudian menggunakan mesin slot ancaman terbaru di negeri ini.

“Serbuan dijalankan baru-baru ini seperti di Marudi, Miri dan Limbang menunjukkan rampasan mesin slot semakin banyak, sekali gus menunjukkan trend terkini perjudian di negeri ini menggunakan mesin slot.

“Selain perjudian dalam talian, mesin slot tidak dibenarkan di negeri ini. Bagi mengelakkan aktiviti perjudian mereka dikesan, operator memilih untuk beroperasi di daerah pedalaman dan jauh dari pihak berkuasa,” katanya kepada Metro Ahad.

Dev berkata, lesen mesin slot hanya dikeluarkan Kementerian Kewangan dan premis yang mempunyai lesen itu perlu mematuhi semua terma dan syarat mengikut Seksyen 27A, Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Bagaimanapun, katanya, tiada lesen seperti itu dikeluarkan kepada premis atau kelab di negeri ini kecuali di pusat hiburan keluarga di pasar raya.

“Dalam tempoh dua minggu ini sebanyak 62 mesin slot berjaya dirampas dalam serbuan di Limbang dan Marudi,” katanya.

Dev berkata, selain mesin slot perjudian, permainan judi ikan turut mendapat permintaan tinggi dalam kalangan tahi judi.

Katanya, bagi mengelirukan polis, operator judi mengubah suai mesin permainan ikan ke mesin judi dalam talian.

“Mereka meletakkan monitor di atas meja dan pemproses komputer disembunyikan di bawah meja. Apabila sekali pandang ia kelihatan seperti mesin ikan biasa,” katanya.

Melihat kepada jumlah rampasan tablet iaitu sebanyak 37 tablet dalam dua serbuan di Marudi baru-baru ini, Dev berkata, judi dalam talian kini turut berubah mengikut perkembangan teknologi.

Menurutnya, pengusaha judi memuat turun aplikasi judi dalam talian ke tablet dan memberikannya kepada pelanggan.

“Ia kelihatan seperti mereka bermain tablet tetapi sebenarnya berjudi. Tablet kini boleh dibeli dengan harga murah menyebabkan mereka tidak berkira, selain mudah disembunyikan,” katanya.

Katanya, polis berdepan cabaran sukar untuk membanteras kegiatan perjudian di negeri ini kerana pengusaha judi sentiasa mempunyai kaedah terbaru untuk terus beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:03 AM