PERAIRAN Sabah.
PERAIRAN Sabah.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Sabah terus komited dalam memerangi isu perjudian tanpa lesen dan penyeludupan kontraban dari semasa ke semasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, komitmen itu jelas dengan pelancaran operasi secara berterusan terhadap kumpulan, sindiket dan orang perseorangan yang menjadi dalang menerusi operasi Op Dadu serta Op Kontraban.

Katanya, bagi operasi perjudian tanpa lesen sepanjang Januari sehingga Oktober tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan 1,540 serbuan dan menahan 2,063 individu.

Katanya, peningkatan itu amat signifikan berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan sebanyak 1,082 serbuan dan menahan seramai 1,540 individu.

"Usaha itu tidak terbatas begitu saja, malah tindakan turut diambil mengikut Akta Pencegahan Jenayah (APJ) 1959 atau POCA terhadap sindiket perjudian yang membabitkan 36 individu sepanjang tiga tahun ini.

"Usaha pembanterasan jenayah ini juga disusuli dengan tindakan pemotongan bekalan elektrik hasil kerjasama dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Idris berkata, tindakan turut diperhebatkan dengan cadangan pembatalan lesen perniagaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Idris berkata, PDRM turut menggerakkan kekuatan seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Marin (PPM) dan beberapa lagi elemen lain dalam usaha membanteras isu penyeludupan kontraban.

Katanya, sepanjang tahun ini, pihaknya sudah melancarkan sebanyak 190 serbuan dengan nilai rampasan mencecah RM29.04 juta.

"Peningkatan itu ketara berbanding tahun sebelumnya dengan 190 serbuan dan rampasan sebanyak RM6.98 juta.

"Tindakan juga disusuli dengan sitaan, rampasan dan pertuduhan terhadap kumpulan yang menjalankan aktiviti penyeludupan berkenaan," katanya.

Idris berkata, PDRM akan terus melancarkan operasi serbuan dan risikan maklumat dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu katanya, kerjasama dan perkongsian maklumat dari masyarakat setempat terhadap sebarang aktiviti menyalahi undang-undang ini amat dialu-alukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 3:40 PM