ABDUL Majid Mohd Ali. FOTO Syafeeq Ahmad.
ABDUL Majid Mohd Ali. FOTO Syafeeq Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Aktiviti perjudian membabitkan individu dan sindiket sentiasa dalam radar Polis Melaka menyaksikan 862 serbuan dilakukan bagi membanteras kegiatan itu, sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, angka itu membabitkan serbuan ke atas lima aktiviti perjudian utama iaitu premis judi menjual tambah nilai, judi dalam talian, pusat panggilan, judi loteri awam tanpa lesen, judi dalam bangunan, judi tempat bebas dan catit taruh haram (bookie bola).

Beliau berkata, bagi tempoh sama, pihaknya membuat 1,047 tangkapan dan merampas 607 peralatan termasuk komputer, telefon bimbit dan wang tunai RM159,269.

"Sepanjang Januari hingga Disember 2021, 565 serbuan dijalankan berkaitan judi dalam talian, loteri awam tanpa lesen (260), judi dalam bangunan (18), judi catit taruh (11), pusat panggilan (lima) dan tiga judi tempat bebas.

"Selain itu, 96 premis menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen dikenakan potongan bekalan elektrik bagi tempoh sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Majid berkata, tindakan membanteras kegiatan perjudian bukan hanya serbuan dan rampasan, sebaliknya pihak bertanggungjawab didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, pihaknya membuka 862 kertas siasatan sepanjang tahun lalu dan daripada jumlah itu, 565 adalah berkaitan judi dalam talian dengan 308 berjaya dituduh dan selebihnya dalam tindakan untuk didakwa di mahkamah.

"Pada Januari tahun ini pula, polis melaksanakan 61 serbuan membabitkan 37 serbuan judi dalam talian, judi loteri awam tanpa lesen (23) dan satu judi tempat bebas.

"Kami menahan 70 individu dan merampas 40 telefon bimbit serta wang tunai RM9,005 dan 61 kertas siasatan turut dibuka dan masih dalam peringkat untuk tujuan pertuduhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 1:43 PM