ANGGOTA polis mengangkat mayat guru yang ditemui di dalam bilik penginapan di pekan Ranau untuk dihantar ke Hospital Ranau, hari ini. FOTO ihsan polis.
ANGGOTA polis mengangkat mayat guru yang ditemui di dalam bilik penginapan di pekan Ranau untuk dihantar ke Hospital Ranau, hari ini. FOTO ihsan polis.
Junaidi Ladjana


MAYAT guru lelaki ditemui di dalam bilik sebuah penginapan di pekan Ranau, pagi hari ini,

Shuhamly Suhaimi, 36, ditemui terlentang di atas katil pada 10.30 pagi oleh pekerja di penginapan itu yang ingin membersihkan bilik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan.

“Guru itu ditemui dalam keadaan terlentang di atas katil dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Ranau.

“Pemeriksaan lanjut tiada sebarang kesan pencerobohan atau pergelutan dan semua barang peribadi mangsa dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata, mangsa adalah seorang guru di sekolah rendah di Tongod, Kinabatangan.

Menurutnya, mangsa mendaftar masuk pada Sabtu lalu dan sejak itu mangsa tidak pernah keluar bilik sewa berkenaan.

“Siasatan masih diteruskan dan mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 9:26 PM