Laporan Harian Metro semalam.
Laporan Harian Metro semalam.
Junaidi Ladjana


Sandakan: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) tujuh beradik yang hilang selepas rumah didiami mereka hanyut akibat banjir lumpur dan tanah runtuh di Ladang Senfo, Tongod, di sini, Jumaat malam, diteruskan pagi tadi.

Operasi SAR dilakukan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bersama pasukan polis, jam 7.30 pagi.

Ketua BBP Keningau, Mudi Pengiran berkata, SAR dijalankan di kawasan Sungai Penangah dan Sungai Masarung.

"Sehingga hari ini, semua mangsa belum ditemui dan SAR masih dijalankan

"Dua mangsa iaitu ibu bapa kepada tujuh beradik Jalikha Malingkut, 50, dan suaminya dikenali sebagai Abdul, 50, masih menerima rawatan di Klinik Kesihatan Penangah," katanya ketika dihubungi.

Kejadian Jumaat malam, tujuh beradik dikhuatiri hilang manakala ibu bapa mereka selamat selepas rumah didiami keluarga terbabit dihanyutkan banjir lumpur di Ladang Senfo.

Kejadian itu hanya disedari pekerja di ladang berkenaan apabila mendapati sebuah rumah di kawasan ladang itu hilang sebelum memaklumkan kepada BBP Keningau, jam 10.30 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 12:49 PM