ANTARA lokasi operasi mencari mangsa pada  3 April lalu. FOTO ihsan Bomba
ANTARA lokasi operasi mencari mangsa pada 3 April lalu. FOTO ihsan Bomba
Junaidi Ladjana


Kinabatangan: Satu lagi mayat mangsa banjir lumpur di Ladang Sen Fu, Tongod, dekat sini, ditemui oleh penduduk kampung di Sungai Pinangah, 3.30 petang tadi.

Penemuan mayat ini menjadikan lapan mangsa disahkan meninggal dunia, manakala satu lagi masih hilang dan dua selamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Balai Polis Tongod, mengatakan seorang mangsa kes banjir lumpur ditemui di Sungai Pinangah oleh penduduk kampung.

"Kini, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan ke lokasi kejadian," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, identiti mangsa belum dikenal pasti dan maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi, 1 April lalu, 11 sekeluarga dihanyutkan banjir lumpur selepas rumah kongsi didiami mereka roboh akibat tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Enam mangsa ditemui meninggal dunia.

Manakala, seorang daripada tiga mangsa yang ditemui selamat meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Duchess of Kent (HDOk) Sandakan pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 7:27 PM