Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster Covid-19 berkaitan jangkitan dalam institusi pendidikan dilaporkan di Sabah membabitkan kes indeks seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, pelajar berusia 19 tahun itu dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian kendiri kerana bergejala pada 16 Januari lalu sebelum mencetuskan Kluster Puri Ranau.

"Ujian pengesahan Covid-19 pada hari berikutnya juga mendapati kes indeks positif RTK-Antigen. Saringan terhadap rakan sebilik dan rakan sekelas mengesan enam lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak tujuh kes.

"Kesemua pelajar perempuan berkenaan berada dalam kategori satu dan dua sahaja dan sudah diasingkan serta diberi rawatan yang sesuai," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ketujuh-tujuh kes dalam kluster berkenaan dilaporkan pada hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, jumlah kes harian Covid-19 di Sabah pada hari ini kembali melepasi angka 200 dengan 201 kes baharu, meningkat sebanyak 38 kes berbanding semalam.

"Terdapat sembilan daerah mencatat kes dua angka dengan Kota Kinabalu (42 kes) dan Tuaran (37 kes) merekodkan angka tertinggi melebihi 20 kes.

"Sebanyak 10 daerah pula merekodkan kes satu angka, manakala lapan daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu iaitu Semporna, Kinabatangan, Kunak, Nabawan, Pitas, Tongod, Putatan dan Kudat," katanya.

Dalam pada itu, satu kes kematian akibat Covid-19 turut dilaporkan pada hari ini di Tuaran, manakala seramai 174 pesakit dilaporkan sembuh dan 674 orang lagi masih menjalani rawatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 9:58 PM