Junaidi Ladjana


REMAJA perempuan berusia 14 tahun dipercayai dirogol bapa tiri, dua kali seminggu, antara Januari 2014 sehingga September tahun ini di lokasi sama di tepi sungai di sebuah kampung di Tongod, Kinabatangan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan ibunya pada 11.35 pagi,Khamis lalu.

"Mangsa mendakwa dia dirogol oleh bapa tirinya ketika berusia 10 tahun di tepi sungai di sebuah kampung di Tongod sejak 2014.

"Mangsa mendakwa bapa tiri melakukan perbuatan itu, dua kali seminggu antara 1 Januari 2014 sehingga 1 September tahun ini ditempat yang sama iaitu di tepi sungai berhampiran rumah suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahak berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan suspek terbabit di luar rumahnya pada jam 1.30 tengah hari, Khamis lalu.

"Mangsa tidak bersekolah kerana keluarga tidak mampu dan mangsa adalah anak keempat daripada lima beradik. Ibu dan bapa kandung mangsa sudah bercerai dan ibunya berkahwin dengan suspek sejak tahun 2008.

"Pada 16 September lalu, berlaku pergaduhan antara ibu mangsa dengan suspek menyebabkan ibunya membawa mangsa serta adiknya pulang ke rumah nenek mereka.

"Pada 1 Oktober lalu, kira-kira jam 2 petang, mangsa memberitahu ibu serta ahli keluarganya bahawa diadirogol oleh bapa tirinya.

"Terkejut dengan kejadian itu, ibu mangsa kemudian membawanya ke Klinik untuk pemeriksaan dan terdapat koyakan pada kemaluan mangsa," katanya

Tambah Sahak, suspek berusia 47 tahun dan bekerja sebagai petani ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol ke atas seorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaanya untuk berkahwin, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 6:50 PM