Junaidi Ladjana


LELAKI warga emas terpaksa menerima tiga jahitan di kening, patah gigi hadapan selain lebam di mata dan kepala selepas dibelasah lima lelaki di hadapan pusat hiburan, di Ranau.

Kejadian 11.30 malam, Rabu lalu, mangsa berusia 64 bersama rakannya hendak ke kereta untuk pulang lalu dihampiri sekumpulan remaja tidak dikenali sebelum membelasah kedua-dua mereka.

Mangsa hanya membuat laporan polis semalam, kerana menerima rawatan di Hospital Ranau.

Menurut sumber, mangsa bersama seorang rakannya menuju ke kenderaan yang diletakkan di hadapan pusat hiburan untuk pulang.

"Ketika hendak menaiki kereta, dua lelaki tidak dikenali menghampiri mangsa dan rakannya lalu menegur kedua-dua mereka.

"Tanpa disedari, mangsa dan rakannya diserang oleh dua remaja terbabit dan dua lagi lelaki disyaki rakan suspek menyerang mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber berkata, mangsa dan rakannya dibelasah hampir 15 minit sebelum beberapa pekerja di pusat hiburan yang menyedari pergaduhan itu bergegas membantu mangsa.

Bagaimanapun, mangsa dan rakan dilaporkan tidak dirompak.

"Mangsa yang luka di kening, patah gigi depan dan lebam di mata, kepala serta kaki kanan dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut. Rakannya turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama.

"Mangsa tidak mengenali semua suspek termasuk punca dia dan rakannya dibelasah," katanya.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian itu sudah diberkas sebaik menerima laporan polis daripada mangsa.

"Semua suspek berusia lingkungan 17 hingga 24 tahun kini direman sehingga 6 Mac depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 1:44 PM