HISHAMMUDDIN di Majlis Pengumuman DSA dan NATSEC 2020 di MITEC.
HISHAMMUDDIN di Majlis Pengumuman DSA dan NATSEC 2020 di MITEC.
Mohd Fauzi Abdullah dan Mohd Azam Shah Yaacob dan Kalbana Perimbayanagam

Kuala Lumpur: Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2018 yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, meletakkan Malaysia sebagai peneraju bidang pertahanan dan keselamatan di dunia.

Ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai ‘suara’ kepada negara di rantau Asia untuk didengari di peringkat dunia dalam konteks pertahanan dan keselamatan sejagat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia dapat dilihat apabila DSA dan NATSEC 2018 mendapat perhatian beberapa menteri pertahanan selain ketua angkatan tentera serta polis negara luar yang hadir menyertai forum sempena pameran berkenaan.

“Malah, saya juga menerima beberapa kunjungan daripada delegasi yang membincangkan mengenai aspek keselamatan dan pertahanan khusus di rantau Asia Tenggara.

“Saya harap kejayaan penganjuran pameran ini menjadi penanda aras kepada permulaan baru kerjasama antara agensi pertahanan dan keselamatan di Malaysia selain negara ASEAN dalam usaha melindungi negara masing-masing daripada sebarang ancaman,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman DSA dan NATSEC 2020 di MITEC, di sini, semalam.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affandi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 3:08 AM