HISHAMMUDDIN berucap melancarkan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia ke-16. FOTO Bernama
HISHAMMUDDIN berucap melancarkan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia ke-16. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 1,500 pempamer daripada 60 negara bakal menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 yang diadakan pada 16 hingga 19 April tahun depan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, DSA 2018 bukan sahaja mampu meningkatkan hubungan Malaysia dengan negara terlibat malah menjadi platform kepada industri pertahanan dan keselamatan tempatan untuk menjalin kerjasama dengan syarikat gergasi luar.

Beliau berkata, pameran yang dikategorikan sebagai lima terbaik di dunia itu adalah platform terbaik untuk industri perkhidmatan keselamatan dan pertahanan mempromosikan teknologi mereka.

"Kita menjangkakan sebanyak 42,000 pelawat perdagangan termasuk 350 delegasi dari 45 negara hadir ke program dwitahunan itu.

"Pameran yang akan dianjurkan di MITEC ini menjanjikan 30 peratus saiz persembahan dengan merangkumi keluasan 42,000 meter persegi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 di Wisma Perwira di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharom; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

DSA yang mula dianjurkan pada 1988 adalah pameran statik peralatan dan teknologi pertahanan, sistem persenjataan dan penyelesaian keselamatan generik terkini bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan negara Asia Pasifik.

Hishammuddin berkata, beberapa program lain turut diadakan sempena pameran berkenaan antaranya Persidangan Meja Bulat Panglima Tentera Darat anjuran ATM dan Forum Keselamatan Siber.

"Selain itu, forum Putrajaya yang bertajuk Pertunjukan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) akan turut dianjurkan membabitkan kementerian sama dari lapan buah negara anggota ASEAN.

"Pada DSA 2018, pameran antarabangsa Keselamatan Negara Asia (NATSEC) turut diadakan bersama buat julung kalinya,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 3:44 PM