Pemandangan dari udara Pulau Qilianyu di Kepulauan Paracel yang menjadi pertikaian beberapa negara di Laut China Selatan. FOTO AFP
Pemandangan dari udara Pulau Qilianyu di Kepulauan Paracel yang menjadi pertikaian beberapa negara di Laut China Selatan. FOTO AFP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerjasama multilateral antara negara adalah jalan terbaik menentang tuntutan China di Perairan Laut China Selatan.

Jeneral Memerintah Tentera Amerika Syarikat Pasifik (Usarpac) Charles A Flynn berkata, kawasan maritim yang dituntut sebagai sebahagian daripada China itu bertindih dengan Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei dan Indonesia.

"Hubungan bilateral antara Amerika Syarikat (AS) dan hubungan multilateral antara negara terbabit amat penting untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian di perairan berkenaan.

"Untuk menyelesaikan masalah yang sangat kompleks seperti ini, cara terbaik adalah kerjasama multilateral antara semua pihak.

"Kebolehan untuk mengumpulkan pemimpin serantau duduk semeja untuk saling memahami dan berbincang berkenaan cabaran yang dihadapi secara peribadi, saya rasa ini adalah cara terbaik untuk menghadapi sebarang cabaran di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini, hari ini.

Flynn berkata, pendekatan multilateral akan membantu dalam usaha untuk menjaga keselamatan kolektif negara serantau dan memastikan kawasan perairan Indo-Pasifik bebas dan terbuka untuk semua pihak.

"Penganjuran pameran seperti DSA 2022 dan Natsec serta latihan ketenteraan seperti Eksesais Keris Strike dan Bersama Warrior membuktikan kerjasama erat antara pemimpin negara serantau," katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, sekurang-kurangnya tiga pulau di sekitar kawasan yang pertikaian berkenaan dibina dan dilengkapi sepenuhnya dengan kelengkapan ketenteraan kerajaan China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 4:10 PM