AHMAD Kamarulzaman bersama  Chong Wei melawat ruang pameran sempena Pameran DSA 2018 di MITEC .
AHMAD Kamarulzaman bersama Chong Wei melawat ruang pameran sempena Pameran DSA 2018 di MITEC .
Mohd Fauzi Abdullah dan Mohd Azam Shah Yaacob dan Kalbana Perimbayanagam

Kuala Lumpur: Kehadiran pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ke Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam, menarik perhatian pengunjung yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambar bersamanya.

Malah, sebaik memasuki ruang legar MITEC sekitar jam 12.15 tengah hari, Chong Wei lengkap berpakaian seragam dan menyandang pangkat Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) terus diserbu peminat yang menyedari kehadirannya.

Terdahulu, kehadiran Chong Wei yang baru saja memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 disambut Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, selain Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

 CHONG Wei bergambar bersama pelajar Institut Onn Ja'afar yang menyertai pameran sempena Pameran DSA 2018 di MITEC.
CHONG Wei bergambar bersama pelajar Institut Onn Ja'afar yang menyertai pameran sempena Pameran DSA 2018 di MITEC.

Sepanjang melawat kawasan pameran DSA dan NATSEC, orang ramai membabitkan anggota pasukan beruniform serta pempamer tempatan dilihat mengerumuni Chong Wei dengan harapan dapat berswafoto bersamanya.

Selain itu, pempamer dari luar negara juga dilihat tidak melepaskan peluang bergambar dengan bekas pemain nombor satu dunia itu.

Chong Wei dilihat tidak kisah melayani kehendak peminatnya dan beramah mesra bersama mereka.

Dalam sesi lawatan itu, Chong Wei meluangkan masa hampir dua jam ke ruang pameran DSA dan NATSEC 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 3:11 AM