Safeek Affendy Razali

PENGARAH dan pemuzik kontroversi Namewee dibebaskan dengan jaminan polis tengah hari tadi.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 34, dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wang Wangi, sekitar jam 1.45 tengah hari selepas ditahan reman sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah mengesahkan perkara itu selepas pihaknya selesai menjalankan siasatan ke atas lelaki itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hasil siasatan kes membabitkan pemuzik kontroversi itu.

Sementara itu, usaha untuk menemubual Namewee gagal selepas dia yang memakai baju kelabu dan mengenakan penutup muka terus masuk ke dalam kereta sebaik keluar dari pintu utama IPD Dang Wangi.

Sebelum ini, dia ditahan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dia ditahan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung empat laporan polis yang tentang satu klip video bertajuk 'Like A Dog' ciptaannya yang dikatakan berunsur hinaan dan dimuat naik dalam laman sosial.

Klip video sempena Tahun Baharu Cina itu antara lain memaparkan individu memakai topeng anjing dengan tarian lucah berlatarbelakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 5:08 PM