Namewee. FOTO Rohanis Shukri
Namewee. FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph 

 

Kuala Lumpur: Pengarah dan penyanyi Namewee, 38, mengakui pernah menerima ugutan membabitkan nyawa selepas namanya menjadi kontroversi di awal pembabitan dalam industri seni.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata, dia menerima bungkusan mengandungi replika keranda dan peluru yang dihantar ke alamat keluarganya di kampung halaman.

"Sekitar 10 tahun lalu, saya pernah terima 'blackmail' di alamat rumah di kampung. Bungkusan itu ada replika keranda dan peluru serta individu itu tahu kediaman saya.

"Insiden itu semestinya sangat merisaukan dan cukup mengganggu fikiran ibu bapa saya. Atas dasar keselamatan, saya membuat laporan polis bagi mengelak perkara sama berulang," katanya.

Namewee berkata, itu antara ancaman diterima yang paling diingatinya selain kecaman di media sosial. 

"Sewaktu baharu mulakan saluran YouTube 12 tahun lalu, memang wujud sedikit tekanan sebab ibu bapa risau. Tapi, kecaman terhadap saya cuma berlanjutan dalam tempoh empat atau lima tahun.

"Sekarang orang semakin kenal dengan corak karya saya, menerima, dan menyokongnya. Sekarang paling tidak pun komen netizen bertekak di akaun media sosial saya sajalah," katanya.

Pengarah filem Nasi Lemak 1.0 itu juga mengakui dirinya memang lantang bersuara sejak di bangku sekolah. Dia melihat tanggungjawab menyuarakan isu semasa lebih besar apabila sudah dewasa.

"Sejak kecil saya memang suka lantang begini. Saya berani persoalkan perkara yang tidak betul di sekolah. Apa saja yang saya rasakan tidak adil, perlu disuarakan dan diperjuangkan.

"Kalau sekarang sudah dewasa, komitmen dan tanggungjawab saya terhadap masyarakat serta keluarga amat besar. Sudah banyak karya yang saya hasilkan sekarang dan orang pun semakin memahami," katanya.

Namewee juga lega apabila ramai sudah mengetahui dirinya bukan seperti yang digambarkan di media massa. Perkara itu juga yang cukup memotivasikan dirinya untuk tidak berhenti berkarya.

"Saya menjadi lebih bersemangat apabila ramai ambil tahu. Sebagai pengarah filem dan penulis lagu, saya perlukan ilham. Apa saja yang berlaku baik atau buruk, satu kelebihan buat saya. 

"Ia menjadi inti kreativiti untuk saya mencari topik dan ilham dalam karya dihasilkan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:50 PM