NAMEWEE. FOTO Rohanis Shukri
NAMEWEE. FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph

Petaling Jaya: Pengarah dan penyanyi Namewee, 38, tidak pernah berniat mencetuskan kontroversi menerusi karyanya sehingga disalah anggap sebagai bersifat perkauman.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata, dia seorang yang cukup anti perkauman dan selama ini berusaha menyuarakan isu semasa dalam karyanya saja.

Bagaimanapun, anak jati Johor itu terkilan apabila dipandang serong hanya gara-gara hebahan mengenai dirinya yang tidak betul.

Justeru, dia mahu tampil dengan penjelasan bagi meleraikan tanggapan sebegitu.

"Apa saja cerita dalam cerita atau lagu saya adalah isu yang bukan saya buat-buat. Isu itu adalah isu yang sedang berlaku atau isu semasa tapi saya terjemahkan dalam karya.

"Sesetengah artis, pengarah dan pemuzik kita lebih memilih untuk menyekat diri daripada suarakan isu tertentu. Justeru, ramai komen saya suka menyentuh sensitiviti.

"Saya harap rakyat Malaysia ikuti dan tonton dulu karya saya. Ini disebabkan, hebahan mengenai saya yang kerap dipaparkan kebanyakannya tidak betul. Kalau mengamati lagu mahupun filem saya, pasti akan kenal siapa Namewee yang sebenarnya," katanya.

Cukup hangat diperbualkan selepas menghasilkan filem berjudul Babi tahun lalu, Namewee bersyukur semakin ramai sebenarnya faham mengenai hala tuju karyanya.

Dia juga kini lebih yakin berkarya kerana audiens sudah faham dan menyokongnya. Mereka nampak niat sebenarnya adalah betul dan bukan sengaja untuk cetuskan sesuatu sentimen.

"Awal-awal dulu mungkin mereka anggap saya cuba cetuskan isu perkauman. Tapi mereka sudah mula faham dengan cara saya. Mereka tahu apa yang saya cuba sampaikan sebenarnya mesej anti perkauman.

"Sekarang saya jadi lebih berani kerana audiens lebih luas. Lebih ramai orang sokong saya contohnya seperti tahun lalu berhubung kes filem Babi itu. Ramai saja orang Melayu sokong saya.

"Sebelum ini, orang hentam saya kerana membaca hebahan yang tidak betul mengenai saya padahal saya tak bagi sebarang kenyataan pun," katanya.

Turut menjelaskan mengenai kontroversi filem Babi tahun lalu, Namewee tidak sangka hal itu menjadi isu besar di Malaysia. Ia disebabkan filem berkenaan bukan tujuan dipasarkan di sini.

"Sebenarnya filem Babi bukan untuk tayangan di Malaysia dan saya tak berniat pun tayangkan di sini. Filem itu adalah untuk dipertontonkan di festival filem dan cuma ditayangkan di Taiwan saja.

"Filem itu pun berkisar perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mesejnya sama saja sebagaimana filem lain saya yang sentiasa menekankan mengenai keharmonian rakyat kita," katanya.

Dalam pada itu, Namewee juga lega kini sudah tidak perlu ditahan setiap kali pulang ke Malaysia.

Terdahulu, dia kerap disoal siasat polis di lapangan terbang sebaik tiba di sini berikutan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Penyanyi yang berpangkalan di Taiwan itu pulang ke tanah air baru-baru ini bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina. Dia juga berada di sini untuk rangka promosi filem terbarunya, Nasi Lemak 1.0 yang mula ditayangkan di pawagam Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 5:40 PM