Kalbana Perimbanayagam and Nurul HIdayah Bahaudin


PENGARAH dan pemuzik kontroversi, Namewee yang memuat naik klip video bertajuk ‘Like A Dog’, ditahan polis ketika memberi keterangan di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pihaknya menerima empat laporan polis berhubung klip video berkenaan yang berunsur hinaan dimuat naik Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, 34.

“Pihak polis menerima empat laporan berhubung klip video itu yang berunsur hinaan terhadap agama serta boleh membawa implikasi negatif kepada perpaduan dan keharmonian kaum.

“Berdasarkan laporan itu, Namewee ditahan pada 2.45 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Namewee ditahan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namewee sebelum ini memuat naik status di akaun Facebooknya mendakwa dia tampil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung klip video berkenaan.

Dia turut memuat naik status memaklumkan dia ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Muhamad Fuzi Harun memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung klip video berkenaanz

Baru-baru ini, Namewee memuat naik klip video terbarunya sempena Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Like A Dog’ yang memaparkan individu memakai topeng anjing dengan tarian lucah berlatarbelakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri Putrajaya.

Berita berkaitan:

Polis siasat Namewee

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:31 PM