SEORANG daripada tertuduh, Farid Idris di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
SEORANG daripada tertuduh, Farid Idris di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Meor Riduwan Meor Ahmad


MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini memerintahkan dua pemilik syarikat kontraktor membela diri terhadap tiga pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah berjumlah RM135,000 berkaitan kuota beras subsidi ST15, tiga tahun lalu.

Hakim Zanol Rashid Hussain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan dihadapi tertuduh, Nor Azamuddin Ahmad, 48, dan Farid Idris Khan, 37.

"Mahkamah meneliti dengan mendalam dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan dihadapi tertuduh dan mengasaskan kes prima facie.

"Anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berjaya dibuktikan terhadap tertuduh. Oleh itu kedua-dua tertuduh dipanggil membela diri terhadap semua pertuduhan dihadapi mereka," katanya ketika memberikan penghakiman lisan di akhir kes pendakwaan semalam," katanya yang menetapkan 23 Oktober ini bagi perbicaraan kes pembelaan.

Ketika dituduh di mahkamah pada 9 Mac 2016, Nor Azamuddin, 48, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima suapan itu sementara Farid Idris,37, membuat pengakuan sama atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Nor Azamuddin menerima rasuah itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Nor Azamuddin didakwa menerima rasuah wang tunai RM45,000 daripada pemilik syarikat DCT Bakery Sdn Bhd, Datuk Noridan Spee Yee, 57, sebagai dorongan mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik bagi Mei 2014 untuk perniagaan yang dimiliki lelaki berkenaan, MNS Utara Enterprise dan MFM Utara Enterprise.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Nombor 69, Persiaran KTC 4/3 Kulim Techno City Golf Kulim Hi-Tech Park Kulim pada 4 Mei 2014, kira-kira jam 11 malam.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nor Azamuddin dituduh mengulangi kesalahan sama dengan menerima suapan masing-masing berjumlah RM45,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 metrik tan bagi perniagaan sama bagi bulan Jun dan Julai 2014, kira-kira jam 11 malam.

Farid pula menghadapi dakwaan bersubahat dengan Nor Azamuddin bagi ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Ang Chun Pun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 7:29 PM