GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengurangkan hukuman penjara bekas pengurus kanan kewangan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah bagi mempercepat proses pembayaran kontrak baja lapan tahun lalu, daripada 55 bulan kepada 30 bulan.

Hakim K.Muniandy turut mengurangkan jumlah denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada Jun tahun lalu terhadap Muhammad Saiful Iskandar Kassim, 46, daripada RM45,000 kepada RM30,000 selepas membenarkan rayuannya.

Bagaimanapun, Muniandy menolak rayuan tertuduh untuk mengetepikan sabitan terhadapnya.

"Mahkamah berpendapat tiada alasan untuk mengganggu dapatan fakta dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang mendapati tertuduh bersalah atas tiga pertuduhan dihadapinya dan mahkamah itu telah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

"Mahkamah Sesyen juga telah mempertimbang pembelaan tertuduh namun mendapati pembelaan gagal mematahkan anggapan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," katanya.

Beliau turut membenarkan permohonan peguam Khairul Anuar Kashim, yang mewakili tertuduh, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 22 Jun 2022, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara 55 bulan dan denda RM45,000 ke atas Muhammad Saiful Iskandar selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Muhammad Saiful Iskandar didakwa menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM6,000 daripada seorang lelaki melalui pindahan wang secara elektronik ke akaun bank milik tertuduh sebagai dorongan untuk mempercepat proses bayaran bagi kontrak menyediakan tenaga kerja, peralatan serta bahan bagi menjalankan kerja-kerja menghantar baja dari gudang Nafas di NPK Fertelizer Sdn Bhd, Kedah dan Agro-Tech NPK (M) Sdn Bhd, Sabah ke gudang Nafas di Sabah dan Sarawak untuk kegunaan Nafas.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan di Dataran Maybank, Jalan Maarof di sini antara 10 Disember 2015 dan 26 Februari 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 6:11 PM