Suzalina Halid


Alor Setar: Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, memerintahkan bekas pegawai kanan Padi Beras Nasional (BERNAS) membela diri terhadap enam pertuduhan pindaan membabitkan rasuah berkaitan beras ST15 pada 2013 dan 2014.

Hakim Zanol Rashid Hussain membuat keputusan itu terhadap Hassin Mad Zain, 55, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Hassin dituduh menerima rasuah RM9,000 melalui akaun peribadinya daripada pemilik syarikat WH Awana Enterprise, Wan Helmi Wan Darus di sebuah bank di Guar Chempedak pada 6 Ogos 2014.

Bagi lima lagi pertuduhan pindaan, dia didakwa menerima rasuah daripada pemilik syarikat Berkat Zairul Enterprise pada September 2013 hingga Januari 2014 sebagai dorongan mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 40 tan metrik bagi setiap pertuduhan.

Bagi kelima-lima pertuduhan pindaan itu, dia dituduh menerima suapan sebanyak RM12,800 melalui akaun peribadinya pada 11 September 2013, 9 Oktober 2013, 8 November 2013, 5 Disember 2013 dan 7 Januari 2014.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan.

Prosiding kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafizh Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam, Mohamad Sofee Razak.

Mahkamah menetapkan 15 dan 16 Februari ini bagi tertuduh membela diri terhadap enam pertuduhan pindaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 12:20 PM