TERTUDUH didakwa menerima rasuah bagi mendapatkan kuota beras ST15. FOTO Amran Hamid
TERTUDUH didakwa menerima rasuah bagi mendapatkan kuota beras ST15. FOTO Amran Hamid
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Dua pemilik syarikat kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM135,000 sebagai upah mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 300 tan metrik antara tempoh Mei hingga Julai, dua tahun lalu.

Tertuduh, Nor Azamuddin Ahmad, 47, dan Farid Idris Khan, 36, masing-masing didakwa menerima rasuah sebanyak RM45,000 bagi mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik setiap bulan daripada Datuk Noridan Spee Yee, pemilik Syarikat DCT Bakery Sdn Bhd untuk perniagaan MNS Utara Enterprise serta perniagaan MFM Utara Enterprise daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani antara tempoh Mei hingga Julai 2014.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pertama Nor Azamuddin didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 10 malam di alamat No.69 Persiaran KTC 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi-Tech Park, Kulim pada 4 Mei, 6 Jun serta 2 Julai 2014.

Manakala, tertuduh kedua, Farid didakwa bersubahat dengan Nor Azamuddin mendapatkan rasuah daripada Noridan bagi mendapatkan kuota berkenaan pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan.

Hakim Zulhazmi Abdullah menetapkan kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 5:53 PM