TERTUDUH hadir di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Shahrizal Md Noor
TERTUDUH hadir di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Shahrizal Md Noor
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Bekas pegawai kanan Padi Beras Nasional (BERNAS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas enam pertuduhan rasuah berkaitan beras ST15 membabitkan nilai suapan RM73,000 pada 2013 dan 2014.

Tertuduh, Hassin Mad Zain, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Mengikut kertas pertuduhan, Hassin dituduh menerima rasuah bernilai RM9,000 melalui akaun perbadinya daripada Wan Helmy Wan Darus, pemilik perniagaan WH Awana Enterprise di Bank Islam cawangan Alor Setar pada 1.38 petang 6 Ogos 2014 sebagai dorongan untuk mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 30 tan metrik.

Bagi lima lagi pertuduhan yang dibaca serentak tertuduh dituduh menerima rasuah daripada Pemilik Syarikat Berkat Zairul Enterprise Rusli Abdullah dari September 2013 hingga Januari 2014 sebagai dorongan untuk mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 40 tan metrik bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama dia dituduh menerima suapan sebanyak RM12,800 melalui akaun peribadinya di Bank Islam cawangan Guar Chempedak pada 11 September 2013.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menerima rasuah bernilai RM12,800 melalui akaun peribadi di Bank Islam cawangan Guar Chempedak pada 10 Oktober 2013.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menerima rasuah bernilai RM12,800 melalui akaun perbadinya di Bank Islam Alor Setar pada 8 November 2013.

Bagi pertuduhan keempat, dia dituduh menerima rasuah bernilai RM12,800 melalui akaun perbadinya di Bank Islam Alor Setar pada 5 Disember 2013.

Bagi pertuduhan terakhir, dia dituduh menerima rasuah bernilai RM12,800 melalui akaun perbadinya di Bank Islam Alor Setar pada 7 Januari 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamad Sofee Razak.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM22,500 dan kes akan dibicara pada 26 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 11:57 AM