myMetro

Klang: “Biar bersedia lebih awal kemudian kerana kita tidak pasti sejauh mana air pasang besar itu akan menjejaskan penduduk,” kata Mohd Faiz Mohd Sali, 24, penduduk di Jalan Bukit Kerang, Kampung Tok Muda, di sini.

Menurutnya, dia sekeluarga mula mengalihkan barangan sejak semalam dengan meletakkannya di pangkin setinggi 0.5 meter
di beranda rumah.

Mohd Faiz berkata, dia turut melakukan perkara sama ketika fenomena air pasang besar yang melanda kampung itu bulan lalu.

“Sebelum ini, beberapa barang berharga diletakkan di pangkin ini kerana penduduk sudah diberitahu berlaku air pasang besar.

“Beberapa hari lalu, kami dimaklumkan fenomena sama berlaku Ahad ini. Sebagai langkah awal, kami memindahkan perabot seperti sofa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro di kampung yang paling teruk terjejas akibat fenomena itu mendapati tidak ramai penduduk memindahkan barangan di rumah masing-masing.

Hujung bulan lalu, puluhan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Tok Muda berikutan benteng penghalang air laut pecah ketika fenomena berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 10:33 AM