MOHD Rahim memeriksa tiang pancang supaya bot nelayan tidak hanyut. Gambar kecil, Kalmi Yusuf. FOTO Faliq Lajim
MOHD Rahim memeriksa tiang pancang supaya bot nelayan tidak hanyut. Gambar kecil, Kalmi Yusuf. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


Klang: “Apabila terdengar air pasang, saya jadi takut dan terkenang kejadian tahun lalu yang menyebabkan saya kerugian ribuan ringgit akibat fenomena ini,” kata Kalmi Yusuf, 59, penduduk Kampung Tok Muda, semalam.

Fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri ini memaksa penduduk dan nelayan di Kampung Tok Muda mengambil langkah berjaga-jaga untuk berdepan sebarang kemungkinan.

Kalmi yang juga ibu tunggal berkata, dia sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk berpindah jika perlu selain menyimpan barangan di tempat tinggi.

“Saya pesan kepada anak supaya bersiap sedia. Pakaian sudah dibungkus dan barangan berharga diletak di tempat tinggi.

“Pada kejadian tahun lalu, mesin basuh, peti ais, dua motosikal selain Proton Iswara rosak akibat ditenggelami air masin. Kereta ini juga masih tidak dibaiki berikutan sudah karat selain kos tinggi,” katanya.

Nelayan, Mohd Rahim Mahani, 59, berkata, dia sentiasa memastikan tiang pancang bot dalam keadaan tinggi dan selamat.

“Ia bagi memastikan bot tidak dihanyutkan air pasang. Pernah terjadi tiang tidak terlalu tinggi menyebabkan bot rakan dihanyutkan ombak.

“Kami akan bergilir mengawasi pangkalan ini. Memang selalu ada orang jaga cuma untuk menghadapi air pasang, kami tambah jumlah penjaga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Zaidi Athan berkata, pihaknya meminta penduduk berwaspada sepanjang fenomena berkenaan.

“Bomba sentiasa bersedia dengan kelengkapan menyelamat dan akan membuat rondaan berkala mengikut jadual kenaikan paras air pada setiap hari,” katanya ketika dihubungi.

Tinjauan di jeti Pangkalan Kampung Tok Muda mendapati air pasang berada pada paras buku lali dan nelayan serta penduduk sudah membuat persiapan jika keadaan bertambah teruk.

Pada masa sama, melalui kenyataan, fenomena air pasang di Selangor dijangka berlaku dari 20 September hingga 22 September, 6 Oktober hingga 9 Oktober, 4 November hingga 7 November dan 4 Disember hingga 5 Disember.

Fenomena itu membabitkan kawasan di Klang meliputi Pangkalan Tok Muda, Batu 4 Jalan Kapar, Sementa, Pelabuhan Klang, Jalan Pandamaran-Banting dan Taman Selat Damai.

Selain itu, di Sabak Bernam, kawasan berisiko adalah di Tebuk Mendeling, Sungai Ayer Tawar dan Sungai Panjang manakala di Kuala Selangor, ia membabitkan Tanjung Karang, Kampung Kuantan, Pantai Remis dan pekan Sungai Buloh.

Paras tertinggi air laut berdasarkan jadual air pasang surut laut yang dijangka dicatat sepanjang fenomena adalah 5.5 meter pada 5 November dan terendah adalah 0.4 meter pada 4 Disember ini,” kata kenyataan itu.

Lokasi lain adalah di pesisir pantai Bagan Lalang di Sepang serta pantai Kelanang dan pesisir pantai Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 4:48 AM