ANGGOTA bomba  melakukan tinjauan paras air pasang besar di sekitar Kampung Tok Muda, Kapar.
ANGGOTA bomba melakukan tinjauan paras air pasang besar di sekitar Kampung Tok Muda, Kapar.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Pihak berkuasa meramalkan kemungkinan berlakunya banjir di beberapa kawasan tertentu di negeri ini berikutan fenomena air pasang besar mulai Ahad ini.

Daerah Klang antara kawasan yang dijangka terjejas disebabkan fenomena itu terutama lokasi berhampiran Selat Melaka seperti Sungai Serdang, Taman Melawis, Kampung Tok Muda, Pandamaran, Taman Selat Damai, Kampung Sungai Pinang dan Kampung Sungai Lima.

Berikutan itu, pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat giat melakukan persiapan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir kilat di kawasan berkenaan.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Klang Penguasa Bomba Ameer Haizal Sahak berkata, pihaknya akan membuka pusat kawalan serta menempatkan bot serta jentera di kawasan berisiko tinggi pada 15 Oktober ini iaitu sehari sebelum tarikh dijangka mengalami air pasang besar.

Beliau berkata, semua pegawai dan anggota di empat Balai Bomba dan Penyelamat di daerah Klang iaitu di Sungai Pinang, Kota Raja, Pelabuhan Klang dan Andalas kini sudah bersiap sedia bagi sebarang operasi memindahkan penduduk jika banjir kilat berlaku.

“Sebanyak dua bot dan masing-masing sebuah jentera dan kenderaan utiliti ditempatkan di pusat pemindahan di Kampung Tok Muda kerana lokasi ini pernah mengalami banjir disebabkan fenomena sama pada September lalu.

“Anggota bomba juga bersedia 24 jam pada hari berkenaan kerana air pasang besar dijangka berlaku sekitar jam 6 pagi Ahad ini dan oleh sebab itu kita akan memulakan proses pemindahan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya selepas melakukan tinjauan di Sungai Serdang dan Kampung Tok Muda, di sini, semalam.

Ameer berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa paras air akibat fenomena itu dijangka meningkat sehingga 5.7 meter berbanding paras direkodkan bulan lalu iaitu 5.6 meter.

“Keadaan akan bertambah buruk jika hujan lebat dan angin kencang dan sebab itu Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor sudah mengeluarkan arahan kepada semua agensi berkaitan dan pemimpin masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Penduduk juga diminta berpindah secara sukarela bagi keselamatan nyawa masing-masing kerana kita tidak tahu apa yang terjadi sehinggalah hari berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 10:11 AM