Alias Abd Rani


Batu Pahat: Beberapa kawasan berhampiran laut di sekitar daerah ini dinaiki air susulan fenomena air pasang besar yang bermula semalam sehingga Isnin ini.

Tinjauan di beberapa lokasi seperti Kampung Sungai Ayam dan Rengit dekati sini mendapati air mula melimpah atas jalan namun setakat ini tidak memasuki rumah penduduk.

Berdasarkan laporan dalam laman web jadual air pasang surut, bacaan paras air pasang tertinggi iaitu 2.9 meter direkodkan pada jam 9.38 malam tadi berbanding 2.37 meter pagi semalam.

Penduduk Kampung Sungai Ayam, Razali Atan, 62, berkata fenomena air pasang malam tadi agak tinggi dan paras tertinggi dijangka berlaku Isnin ini.

Katanya, sebahagian besar jalan memasuki kampung ini ditenggelami air untuk beberapa ketika dan penduduk sudah pun membuat persiapan termasuk memindahkan kenderaan di tempat lebih tinggi.

"Kampung ini sudah biasa mengalami fenomena air pasang dan boleh dikatakan semua penduduk di sini sudah lali, tapi kami tetap waspada. Malam tadi, adalah antara tertinggi menyebabkan ada jalan tidak boleh dilalui kenderaan kerana arus deras.

"Cuma kami risau jika berlaku tiupan angin barat, fenomena ini bertambah buruk menyebabkan sebahagian besar rumah ditenggelami air. Kejadian ini pernah berlaku hujung tahun lalu di mana ketinggian paras air pasang iaitu mencecah 3.3 meter," katanya ketika ditemui.

Dia yang menetap di kampung itu sejak lahir berkata, kebanyakan penduduk di sini sudah biasa dengan fenomena yang biasanya berlaku pada setiap hujung atau awal tahun.

"Dua hari lagi mungkin rumah penduduk dinaiki air, kami hanya perlu menyelamatkan barangan penting manakala selebihnya terpaksa dibiarkan," katanya.

Bagi penduduk Kampung Bumiputera Rengit, Kamal Kasim, 48, berkata setiap kali fenomena ini berlaku, kampungnya antara terkesan.

Menurutnya, kebanyakan air akan melintas jalan dan ada yang memasuki rumah penduduk terutama di kawasan rendah.

"Biasanya air pasang besar berlaku pada setiap hujung atau awal tahun tetapi disebabkan cuaca tidak menentu, kejadian ini boleh berlaku tanpa mengira masa.

"Beberapa tahun lalu, kejadian air pasang paling besar pernah berlaku di sini ditambah pula dengan ribut menyebabkan sebahagian besar kawasan dinaiki air.

"Sebab itulah kebanyakan penduduk di sini mengambil langkah jangka panjang termasuk membina rumah lebih tinggi dan membuat tembok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 2:58 PM