NELAYAN, Rosli Hassan memindahkan barang barang di rumahnya di Kampung Bahagia, Kuala Perlis.
NELAYAN, Rosli Hassan memindahkan barang barang di rumahnya di Kampung Bahagia, Kuala Perlis.
JENTOLAK mengangkat guni pasir untuk diletakkan di sepanjang benteng pemecah ombak di Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang.
JENTOLAK mengangkat guni pasir untuk diletakkan di sepanjang benteng pemecah ombak di Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang.
Siraj Mohd Zaini dan Suzaini Sulaiman


Klang: Jabatan Bomba dan Penyelamat memulakan persediaan menghadapi gelombang kedua fenomena air pasang besar dijangka berlaku empat hari bermula Ahad ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Zaidi Ahtan berkata, pihaknya melakukan kajian situasi dihadapi di Kampung Tok Muda yang terjejas teruk ketika gelombang pertama September lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti 48 rumah di kampung berkenaan yang berhampiran tebing sungai dan keadaan diramal berlaku banjir kilat disebabkan peningkatan paras air laut sehingga 5.7 meter.

“Kami membuat tinjauan mengenai kawasan berisiko serta akses ke tempat bencana. Kami juga menganggarkan kemungkinan banjir kilat berlaku satu kilometer (km) dari tebing sungai.

“Beberapa rumah didiami warga emas dan usaha pemindahan akan diberi keutamaan kepada mereka untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, air pasang besar dijangka berlaku seawal jam 5 pagi, Ahad ini dan penduduk di kawasan terbabit diminta ke pusat pemindahan mulai jam 2 petang, Sabtu ini.

“Satu pusat pemindahan dibuka di kawasan kampung ini. Seramai 34 anggota dan pegawai berada di pos pengawal untuk membantu pemindahan.

“Bomba menempatkan dua bot dan dua kenderaan utiliti serta sebuah trak sebagai langkah persediaan,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Selangor, lapan pusat pemindahan banjir dikenal pasti mampu menampung 1,000 mangsa untuk menghadapi fenomena air pasang besar, hujung minggu ini.

Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, pusat pemindahan itu dikenal pasti hasil perbincangan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, bomba dan penyelamat, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Penduduk kampung melalui ketua kampung dan Pengerusi JKKKP dimaklumkan supaya bersedia menghadapi fenomena air pasang besar gelombang kedua dengan membuat persediaan berpindah jika perlu.

“Mereka digalakkan membuat persediaan awal dengan mengemas peralatan rumah seperti barangan elektrik dan berharga supaya memudahkan urusan pemindahan peralatan jika perlu,” katanya.

Beliau berkata, lebih 11,000 guni pasir dijadikan benteng akan diletakkan di pantai yang berisiko tinggi dinaiki air.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran juga sedang membaiki kerosakan benteng pantai serta beberapa kawasan berisiko.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 8:55 AM