Mohd Rizal (tengah) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kluang.
Mohd Rizal (tengah) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kluang.

Kluang: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan memandu kenderaan secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang bayi berusia lapan bulan, Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd Rizal Ahmad, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nuruhuda Mohd Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Nur Muhris Anas Anuar di Kilometer 55.8, Jalan Batu Pahat-Mersing pada jam 11.50 pagi, 16 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan lesen memandunya.

Nuruhuda turut menetapkan 10 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, bedah siasat serta Jabatan Pengangkutan Jalan.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, Sabtu lalu, lori pasir tanpa muatan yang dipandu tertuduh merempuh dan melanggar lima kenderaan di lokasi kejadian termasuk Honda City dinaiki bayi berkenaan bersama ahli keluarganya.

Kejadian itu menyebabkan Nur Muhris Anas tercampak ke bahagian cermin hadapan dan mengalami kecederaan di kepala sebelum meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 6:36 AM