TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majestrit Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majestrit Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Kluang: Penyelia kilang didakwa di Mahkamah Majistret Kluang, di sini, hari ini atas dua pertuduhan membunuh nenek kandung dan bekas teman wanitanya masing-masing pada dua tahun lalu dan 25 Ogos lalu.

Tertuduh, V Siva, 33, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nuruhuda Yusof.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam, V Ramesh.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyebabkan kematian dengan niat terhadap nenek kandungnya, G Danata Letchumy, 85, di alamat No 25, Jalan Kinabalu, Taman Koperasi, di sini, antara 9.30 hingga 10.30 pagi, 11 Julai 2013.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh dituduh membunuh dengan niat bekas teman wanitanya, S Chitra, 32, di rumah beralamat di Jalan 8/6, Taman Desa Kluang,di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 3.45 petang, 25 Ogos 2015.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norafiah Saini memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan forensik serta kimia dan mahkamah kemudian menetapkan 21 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 1:38 PM